Baiknya Rasulullah SAW dengan kanak-kanak.
Rasulullah SAW Kasihkan Kanak Kanak
Rasulullah dikenali
sebagai seorang yang lembut dan penyayang terutamanya kepada kanak-kanak. Baginda sering
bermain dengan kanak-kanak, memeluk dan menunjukkan kasih sayang
terhadap mereka. Baginda tidak sekali-kali menunjukkan tanda-tanda
kasar atau berkasar terhadap mereka.
Rasulullah SAW
merupakan insan terbaik pilihan Allah SWT, seperti yang diriwayatkan oleh ummul
mukminin Aisyah r.a. bahawa akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda berhati
mulia dan lemah lembut pekertinya terutama kepada kanak-kanak.
Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang
melaksanakan solat, cucu baginda, Hasan dan Husain memanjat ke atas bahu
baginda dan bermain-main di sekitar baginda. Selepas solat, baginda tidak terus
memarahi dan menyalahkan mereka, kerana baginda tahu bahawa kanak-kanak akan
takut dan akan menjauhi orang yang memarahi dan kelak susah menerima nasihat.
Justeru, baginda menasihati mereka dengan lemah lembut sehingga mereka faham
dan mendengar nasihat tersebut.
Rasulullah SAW melarang ibu bapa berkata
bohong kepada kanak-kanak. Terdapat ibu bapa yang berkata bohong kepada anak
untuk mendiamkannya ketika mereka meminta sesuatu. Contohnya, “Diam ya nak,
nanti emak belikan coklat.” Selepas anaknya diam, coklat pun tinggal cerita
sahaja. Bayangkan betapa kecewanya anak itu apabila janji tidak ditepati.
Rasulullah SAW suka bermain dengan
kanak-kanak dan bercerita kepada mereka. Baginda tidak malu bermain dengan
mereka, malah melayan kanak-kanak dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW pernah
membawa Abdullah bin Abbas r.a. di atas kenderaan baginda sambil bercerita
tentang nabi-nabi yang diutus oleh Allah SWT sebelum baginda.
Ada satu peristiwa yang menunjukkan bahawa
Rasulullah SAW sangat peka terhadap keinginan seorang anak. Anak tersebut
bernama Khattab. Dia rendah, kurus dan tidak tampan berbanding kawan-kawannya
yang lain.
Pada suatu hari, Khattab berjumpa dengan
Rasulullah SAW dan seperti anak-anak yang lain, dia berasa sungguh gembira
tatkala bersama-sama baginda. Baginda memerhatikannya dengan penuh belas
kasihan dan memahami kehendaknya. Sambil membelai kepala Khattab, baginda
berdoa agar Khattab membesar dengan tampan seperti rakan-rakan sebayanya.
Hari demi hari, Khattab mula membesar dan
berubah. Hanya dengan satu doa daripada Rasulullah SAW, Khattab menjadi pemuda
yang tinggi, sasa dan paling tampan dalam kalangan rakan-rakannya. Bagi
Khattab, tiada lain yang dikasihi melebihi dirinya melainkan Rasulullah SAW.
Contohilah sikap Rasulullah SAW terhadap
kanak-kanak. Baginda suka bertanya tentang keadaan mereka dan memeluk mereka
dengan kasih sayang. Kanak-kanak mempunyai hati yang lembut, maka kita perlu
berhati-hati memperlakukan mereka. Jika mereka terbiasa diperlakukan dengan
kasar, maka mereka akan ingat sampai bila-bila dan ini akan mengganggu
psikologi mereka. Sebaliknya, mereka akan suka kepada seseorang yang menyayangi
dan berlemah lembut kepada mereka. Anak-anak akan lebih mudah mendengar nasihat
daripada orang yang disenangi.
Kesimpulannya, marilah kita memperlakukan
kanak-kanak dengan sebaik-baiknya sepertimana yang telah dilakukan oleh
Rasulullah SAW. Kanak-kanak adalah penerus bangsa dan umat ini, jika kita
perlakukan mereka dengan baik, maka akan baiklah keadaan bangsa dan umat ini
pada masa yang akan datang.
Comments